Sumbangan guru begitu besar sebenarnya terhadap sesebuah
negara bahkan sesebuah tamadun manusia itu sejak zaman-berzaman. Jika kita kaji
dan teliti, kebanyakkan tamadun manusia terdahulu yang maju adalah tamadun yang
mengutamakan pendidikan terhadap rakyatnya. Disini kita dapat lihat betapa
pentingnya peranan seorang guru.
Kerjaya sebagai seorang guru merupakan suatu pekerjaan yang
murni. Tambahan pula dikatakan guru mempunyai cuti yang banyak. Ada juga yang
mengatakan menjadi seorang guru senang dan memperoleh pendapatan tinggi dan
tetap. Tidak kurang juga yang menyatakan menjadi seorang guru merupakan ‘jalan
mati’ setelah profesion lain tidak memberikan peluang yang baik. Pelbagai
tanggapan yang boleh disimpulkan sama ada dalam kalangan masyarakat umum
tentang profesion guru.
Tugas pendidik atau guru bukan setakat menyalurkan ilmu
pengetahuan, tetapi merangkumi pendidikan akhlak kepada anak murid. Mengajar
dalam apa bidang sekalipun, aspek membina sahsiah peribadi seharusnya
diletakkan sebagai teras kepada usaha pendidikan itu.
Namun sebenarnya profesion menjadi seorang guru bukan
sahaja suatu pekerjaan yang murni dan baik malah menjadi seorang guru perlu
menggalas suatu tugas dan cabaran yang hebat untuk mendidik, membimbing dan
menunjuk ajar dalam proses membentuk seorang manusia untuk menjadi modal insan
yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Dalam mengharungi proses dan
sistem pendidikan tersebut khususnya di Negara kita seorang guru sering
menghadapi pelbagai cabaran dalam melaksanakan konteks tugasannya di bilik
darjah dan sekolah.
Dalam zaman serba moden serta mencabar, kerjaya guru juga
semakin mencabar. Banyak kali dilaporkan mengenai adanya segelintir kecil guru
yang tidak dapat mengawal emosi lantas mengambil tindakan menghukum anak didik
di luar batas etika sebagai seorang pendidik.
Justeru, guru perlulah sentiasa ingat bahawa mendidik
manusia memerlukan kesabaran tinggi dan nilai kasih sayang yang kental. Tanpa
dua sifat penting itu, guru akan berhadapan masalah. Panduan ditunjukkan
Rasulullah SAW perlu dijadikan amalan ketika memenuhi tugas mendidik anak
bangsa.
Antara cabaran profesion guru di sekolah rendah ialah tugas
seorang guru dalam menyampaikan pengajarannya dalam bilik darjah. Buat masa ini
guru terpaksa menggunakan pendekatan, teknik dan kaedah yang terbaharu dalam
sistem pendidikan yang diperkenalkan. Cara ‘chalk and talk’ bukan lagi suatu
kaedah yang sesuai. Guru mesti menguasai kaedah pedagogi yang sinonim dengan
pengetahuan sedia ada murid yang bersifat homogenius, menggunakan bahan bantuan
mengajar yang sistematik.
Apabila bahan bantuan mengajar digunakan guru
terpaksa menggunakan teknologi terkini dengan sumber kewangan yang terhad.
Kaedah berpusatkan murid mesti dilaksanakan dalam pengajaran seseorang guru.
Guru kena berfungsi sebagai medarator yang berkesan. Pencapaian objektif mesti
berbentuk eksplisit yang mampu merangsang murid memahami isi pembelajaran.
Penilaian secara formatif perlu dilaksanakan. Oleh itu, secara keseluruhan
sistem penyampaian guru dalam pembelajaran dan pengajaran bukan lagi berbentuk
stereotaip tetapi berbentuk proaktif.
Cabaran lain yang terdapat pada seseorang guru ialah seorang
guru diberikan pelbagai jawatan yang bukan sepatutnya dilakukan oleh seseorang
guru. Seorang guru terpaksa memegang beberapa potfolio dalam sesuatu
jawatankuasa yang diwujudkan atas kapasiti yang tidak berkaitan dengan subjek
yang diajar. Sebagai contoh, seorang guru yang sudah dilantik sebagai Ketua
Panitia subjek terpaksa menjadi ahli untuk jawatankuasa bagi pengurusan Hal
Ehwal Murid seperti Bahagian Perabot, Keceriaan dan Keselamatan sekolah serta
Pengurusan Bangunan dan Pemuliharaan Bangunan dan pelbagai ini. Dengan
kesibukan dalam menyediakan rancangan pembelajaran dan pengajaran dalam kelas
serta menanda latihan murid seorang guru terpaksa menguruskan hal-hal yang
sedemikian seperti sistem pemfailan, inventori, rekod kemas kini dan sebagainya
yang perlu dilengkapkan dan diurus dengan baik.
Cabaran ini kena dilaksanakan
oleh guru bagi membantu proses pembangunan dan aset sekolah. Untuk mengatasi
cabaran ini seorang guru perlu bijak mengagihkan masa semasa di sekolah iaitu
menyampaikan isi pengajaran dan melakukan penandaan buku semasa di bilik
darjah. Dalam proses tersebut guru perlu mengisi masa lapang atau masa tidak
mengajar untuk melaksanakan sistem pendokumentasian tersebut. Justeru itu,
seseorang guru perlu mengimbangi masa yang diperlukan mengajar dan melaksanakan
kerja-kerja samping tersebut. Kerangkaan kerja perlu disediakan dengan lebih
detail beserta dengan senarai semak.
Beberapa aspek lain juga menjadi pencabar kepada profesion perguruan masa kini. Antaranya ialah, pengenalan beberapa sistem secara online. Pengenalan kepada sistem online ini memang memberikan banyak faedah kepada guru, namaun, beberapa sistem yang diperkenalkan tidak dapat berfungsi dengan baik dan pentadbir sistem mengambil masa yang terlalu lama untuk memperbaikinya. Ini menjadikan kerja tergendala sedangkan sasaran kerja yang diperuntukkan kepada seorang guru sangat membebankan.
Selain itu, pengenalan program program tertentu tanpa diberikan penjelasan mendalam tentang cara mentadbir program tersebut juga menjadi satu cabaran kepada guru.
Kesimpulannya, dalam dunia pendidikan yang semakin canggih
seiring dengan perkembangan teknologi seseorang guru tidak boleh lari daripada
cabaran yang makin hebat sama ada dalam bilik darjah ataupun sekolah secara
amnya. Tugas mendidik dan mengajar di sekolah perlu dilaksanakan bagi
memastikan wawasan yang ingin dicapai melalui Falsafah Pendidikan Negara untuk
melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari aspek jasmani, emosi, rohani
dan intelek (JERI) supaya menjadi rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkupayaan dalam
mencapai Wawasan 2020.
tq, really useful ! :)
ReplyDeleteAmazing...
ReplyDelete