Stress dalam kalangan guru dapat dikendalikan dengan
strategi berikut:
1. Kenal pasti reaksi emosional
Apabila keperluan emosi dapat dikenal pasti maka seseorang
guru boleh menangani stress dengan cara yang lebih positif. Contoh situasi,
seorang guru perempuan tidak bersefahaman dengan pengetua di sekolahnya. Guru
tersebut telah menangani stress dengan cara yang negatif, iaitu menengking
pengetua itu. Setelah guru tersebut mengetahui keperluan emosi dalam dirinya,
guru tersebut sedar bahawa tindakannya adalah kerana suatu masa dahulu ayahnya
telah menggunakan pendekatan yang sama oleh pengetua itu, iaitu lagak bapa yang
menghukum anaknya. Guru tersebut sedar bahawa dia inginkan pengetua itu
menghargai beliau. Guru tersebut telah berhadapan dengan pengetua dan
memberitahu perasaannya itu. Akhirnya, hubungan mereka berjaya dipulihkan.
2. Komitmen sosial
Apabila berhadapan dengan stress, guru memerlukan sokongan
daripada orang-orang di sekelilingnya. Oleh itu, komitmen sosial amatlah
penting.
3. Kehidupan fizikal
Stress menjejaskan kesihatan dari segi imunisasi tubuh. Oleh
itu, seseorang guru harus tahu teknik yang berkesan untuk menangani stress
terutamanya menjelang peperiksaan pelajar dan pertukaran pentadbiran di
sekolah.Pengetahuan dalam senaman rutin dan pelan makanan seimbang boleh
membantu guru menangani stress.
4. Intelek
Guru hendaklah bergaul dengan golongan yang memiliki tahap
intelek yang serupa dengan mereka kerana aspek intelek boleh membantu guru
menangani stress (Gold Yvonne dan A. Roth Robert, 1993).
Stress jika dibiarkan, boleh mendatangkan kesan sampingan
yang tidak baik. Justeru adalah penting untuk mengubah diri individu untuk
menangani stress dengan cara yang terbaik. Kenal pasti punca yang menyebabkan
masalah tersebut dan ubah. Dengan mengetahui punca stress tersebut, individu
bukan hanya meringankan masalah kini malah menghindarkan berulangnya masalah
serupa pada masa akan datang. Contohnya, jika seseorang guru kecewa dengan
perbalahan dengan pelajarnya, guru tersebut mungkin menyedari bahawa punca
kekecewaannya itu bukan disebabkan oleh tingkah laku pelajar tetapi harapan
yang tidak realistik guru berkenaan. Dengan mengubah standard yang ingin
dicapai, guru tersebut akan mendapati bahawa tingkah laku pelajar tidak lagi
mengganggunya.
Bagi mengatasi masalah tersebut juga, Goleman (1999) telah
menyarankan lima faktor atribusi terhadap masalah stress/burnout. Faktor-
faktor tersebut ialah:-
a) Kesedaran Kendiri (self-awareness)
b) Pengawalan Kendiri (self-regulation)
c) Motivasi Kendiri (self-motivation)
d) Empati
e) Kemahiran Sosial (social skills).
Faktor atribusi pertama iaitu kesedaran kendiri bermaksud
kebolehan seseorang guru untuk mengetahui perasaan mereka dalam satu-satu
situasi dan keupayaan mereka untuk memilih keutamaan panduan dalam membuat
keputusan. Seseorang guru yang mempunyai kesedaran kendiri juga mempunyai
penilaian yang realistik tentang keupayaan diri dan mereka mempunyai keyakinan
diri yang kukuh.
Pengawalan kendiri (self-regulation) dimaksudkan sebagai
kebolehan mengurus emosi agar ianya memudahkan dan bukannya mengganggu dalam
menyelesaikan sesuatu tugasan. Guru yang boleh mengawal diri mereka sentiasa
berhemah dan boleh menangguhkan sementara perasaan negatif mereka. Guru
sedemikian juga cepat pulih daripada tekanan emosi.
Guru yang mempunyai motivasi kendiri (self-motivation)
berupaya menggunakan kehendak diri dalam menggerak dan memandu arah mereka
untuk mencapai sesuatu tujuan. Motivasi kendiri boleh membantu seseorang dalam
mengambil inisiatif dan bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri. Individu
dengan motivasi kendiri yang tinggi sentiasa tabah apabila menghadapi masalah
atau dalam keadaan kekecewaan yang tinggi.
Empati merupakan faktor atribusi yang boleh membantu
seseorang mengesan perasaan orang lain. Sifat berempati juga membolehkan
seseorang guru melihat atau memahami sudut pandangan orang lain. Sifat ini juga
boleh menjadi faktor pencetus dan penyubur kemesraan dan keserasian dengan individu
dari pelbagai latar belakang. Individu yang mempunyai sifat empati boleh
menyelami keperitan, kesusahan, kekecewaan atau keraguan seseorang terhadap
sesuatu perkara. Seseorang yang boleh menunjukkan sifat berempati akan lebih
mudah berinteraksi dengan orang lain terutama dalam proses membantu seseorang.
Guru perlu memiliki sikap ini supaya dengan mudah memahami dan mendekati murid.
Murid akan berasa selesa bersama guru dengan adanya kemahiran tersebut.
Kemahiran bersosial (social skills). Faktor kemahiran
bersosial ini membolehkan seseorang yang mengurus pelbagai emosi secara efektif
dalam perhubungan. Mereka juga mampu mentafsir dengan tepat situasi sosial dan
jaringannya selain daripada mahir memujuk dan memimpin. Seseorang guru yang
mempunyai kemahiran bersosial yang berkesan juga mampu menjadi pakar runding
yang baik disamping berkebolehan menyelesaikan konflik bagi mewujudkan
kerjasama dan semangat berpasukan dalam bilik darjah.
Selain itu hubungan interpersonal yang baik juga perlu bagi
guru antaranya berkongsi masalah dengan rakan sekerja, rakan sekerja sentiasa
memberi kerjasama dan sentiasa mendapat galakan daripada pentadbir atau
pengetua. Guru juga telah dibebankan dengan pelbagai tugasan pentadbiran yang
telah menjadi rutin pekerjaan mereka, umpamanya mengisi borang, mengutip yuran,
mengemas kini kedatangan pelajar, menyediakan laporan prestasi, menyediakan
soalan ujian dan peperiksaan, memberi bimbingan dan pelbagai lagi bagi
memajukan pelajarnya.
Stres yang berpanjangan boleh melemahkan mental dan
fizikal serta berupaya melemahkan secara signifikan kerjaya guru dan prestasi
pelajarnya kerana stress menjejaskan kualiti pengajaran dan komitmen para guru.
Keberkesanan sesuatu pendidikan adalah bergantung kepada pengerak utama sistem
ini iaitu guru-guru. Prestasi guru dan komitmen adalah penting bagi seseorang
guru untuk membantu anak bangsa dalam memperolehi kejayaan.
No comments:
Post a Comment