Thursday, 12 March 2015

Emosi Marah

Emosi marah merupakan salah satu perasaan yang timbul apabila manusia berasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara. Kebiasaannya ia diiringi oleh perubahan fisiologi seperti muka menjadi marah, anggota badan menggeletar, pergerakan dan pertuturan bercelaru. Kadang-kala ia diiringi oleh kelakuan luaran seperti cacian, deraan, kutukan dan dendam.


Emosi marah adalah antara naluri semulajadi manusia yang dijadikan oleh Allah s.w.t untuk keperluan hidupnya. Sebagai satu sifat yang semulajadi, pada asalnya mempunyai emosi marah bukanlah suatu kecacatan atau kekurangan manusia. Namun begitu, emosi marah ini boleh menjadi sifat yang keji, jika kemarahan itu menimbulkan perasaan dendam dan melampaui batas kemanusiaan.





Emosi marah merupakan naluri semulajadi manusia yang sedia wujud. Emosi marah ini boleh memberi manfaat kepada manusia jika digunakan untuk kebenaran dan keadilan. Tetapi emosi marah yang tidak dapat dikawal dan menurut hawa nafsu adalah dilarang dalam Islam kerana ia boleh membawa kepada kemudaratan diri dan orang lain.


Marah adalah naluri kepada manusia normal. Tidak ada manusia yang tidak mempunyai perasaan marah. Hatta para nabi dan rasul, sahabat-sahabat ridhwanu ‘alaih, salafussoleh, juga mempunyai perasaan marah. Bezanya adalah kemarahan mereka itu dikawal dengan iman, mereka marah apabila agama Allah diperkotak-katikkan, mereka marah apabila hukum Tuhan dipermainkan, mereka marah apabila berlakunya kemaksiatan. Dan marah mereka, bukanlah marah yang berlandaskan nafsu tetapi marah yang sememangnya perlu. Tetapi merenung diri sendiri, kita tidaklah sesempurna itu kerana kita juga manusia biasa yang mengalami peningkatan dan penurunan iman.



Apabila manusia gagal mengawal perasaan marah, timbul lah penyakit baran. Baran dapat dikesan apabila seseorang itu mudah melenting, cepat merasa marah dan perkara ini berlaku secara berulang-ulang kali. Ketika ini, mindanya berada di bawah separa sedar lalu menyebabkan kegagalannya menahan perasaan marah. Baran yang kronik boleh membawa kepada kesan yang membahayakan diri sendiri dan orang lain. Oleh kerana itu Rasulullah SAW bersabda dalam menasihati ummat baginda, mafhumnya:


Daripada Abu Hurairah R.A, seorang lelaki berkata kepada Nabi, “Nasihatilah aku, (Nabi) berkata, “Janganlah kamu marah. Lelaki tersebut berulang kali meminta nasihat, dan berkata Nabi pada setiap kali, “Janganlah kamu marah”.



No comments:

Post a Comment